Salam ustaz, berkaitan dengan ibu susuan .Banyak yang kata keperluan 5 kali kenyang. Saya pernah bertanya dengan beberapa ust. yang jelas tidak perlu 5 kali kenyang cukup sekali yang kenyang yakni bayi tesebut selesai menyusu sekali atau sebotol susu 60ml atau cukup dia menyusu sekali sahaja. Harap dapat penjelasan. Tk
Jawapan;
Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam menentukan bilangan penyusuan yang akan menimbulkan ikatan mahram di antara anak susuan dan ibu yang menyusuinya.
Pandangan pertama; iaitulah pandangan Imam ‘Atha’, Thawus, Imam Syafi’ie, Imam Ahmad (mengikut pandangannya yang rajih), Ibnu Hazm dan ahli-ahli hadis; penyusuan yang akan menimbulkan ikatan mahram ialah penyusuan yang tidak kurang dari lima kali penyusuan yang terpisah. Dalil mereka ialah hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Pada permulaannya diturunkan di dalam al-Quran; sepuluh kali penyusuan yang diketahui (yakni berasingan) barulah akan mengharamkan (yakni menimbulkan ikatan mahram). Kemudian dinasakhkan bilangan sepuluh kali itu dengan lima kali penyusuan yang diketahui. Rasulullah wafat dalam keadaan bilangan penyusuan itu masih merupakan ayat yang dibaca dari al-Quran”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai).
Hadis ini telah mengikat keumuman penyusuan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun dalam al-Quran Allah hanya menyebutkan penyusuan secara umum akan menyebabkan terjadinya ikatan mahram antara anak yang disusui dan ibu yang menyusuinya (serta saudara-saudara susuannya) tanpa menentukan bilangan tertentu terhadap penyusuan yang dilakukan, namun hadis diatas telah mengikat keumuman tersebut dengan sepuluh kali penyusuan yang kemudiannya –sebelum kewafatan Nabi- diubah oleh Syarak kepada hanya lima kali penyusuan. (Fiqh as-Sunnah, 2/50).
Pandangan kedua; iaitu pandangan Sa’id bin al-Musayyib, al-Hasan al-Basri, al-Auza’ie, Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad (mengikut satu riwayat); penyusuan sama ada banyak atau sedikit akan menghasilkan ikatan mahram. Menurut pandangan ini; walau dengan hanya sekali penyusuan, akan terhasillah ikatan mahram. Mereka berdalilkan kemutlakan (keumuman) ayat al-Quran (iaitu ayat 23 dari surah an-Nisa’) yang menyebutkan tentang mahram susuan di mana ayat itu tidak menghadkan bilangan penyusuan. Selain itu mereka juga berdalilkan hadis berikut;
Dari ‘Uqbah bin al-Harith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Aku telah mengahwini Ummu Yahya binti Abi Ihab. Kemudian muncul seorang wanita berkulit hitam yang mendakwa dia telah menyusui kami berdua. Aku pun pergi kepada Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan memberitahunya. Lalu baginda berpaling dariku. Aku pun berkata kepada baginda; “Ya Rasulullah, aku rasa wanita itu berdusta”. Baginda menjawab kepadaku; “Mana kamu tahu ia berdusta sedangkan ia telah berkata apa yang dikatainya? Tinggalkanlah isteri kamu itu (yakni berpisahlah dengan isteri kamu itu)”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Abu Daud. Terjemahan berdasarkan lafaz Abu Daud).
Dalam hadis di atas Nabi tidak menyoalpun berapa kali penyusuan yang telah wanita itu lakukan, akan tetapi Nabi terus menyuruh ‘Uqbah berpisah dengan wanita itu. Ini menunjukkan bahawa yang diambil perkiraan ialah dengan semata-mata wujudnya penyusuan. Asalkan terdapat makna penyusuan, maka terdapatlah hukumnya. Menurut Imam an-Nawawi; pandangan ini adalah pandangan jumhur ulamak. (Tuhfah al-Ahwazi) Pandangan ini juga yang disokong oleh Imam al-Bukhari. (Tuhfah al-Ahwazi)
Pandangan ketiga; iaitu Pandangan Imam Ibnu Munzir, Abu Tsur, Daud Dzahiri dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat lain darinya); sekurang-kurangnya tiga kali penyusuan. Mereka berdalilkan hadis di mana Rasulullah bersabda;
لاَ تُحَرِّمُ الْمَصَّةُ وَالْمَصَّتَانِ
“Tidak akan mengharamkan (yakni menimbulkan ikatan mahram) dengan hanya sekali dan dua kali hisapan (yakni penyusuan)”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha-).
Dalam hadis di atas Nabi menyebutkan tidak akan menjadi mahram dengan sekali atau dua kali hisapan. Jadi hadis ini menunjukkan bahawa penyusuan yang kurang dari tiga kali tidak akan menghasilkan ikatan mahram.
Pandangan yang ditarjih oleh ulamak-ulamak semasa hari ini ialah yang pertama iaitu sekurang-kurangnya lima kali penyusuan. Pandangan itulah juga yang dipakai oleh Majlis-Majlis Fatwa di dunia Islam hari ini seperti Mesir, Arab Saudi, Malaysia dan sebagainya.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Fiqh as-Sunnah, jilid 2, bab al-Muharramaat min an-Nisa’ (hlm. 49-50).
2. Tuhfah al-Ahwazi, Syarah Sunan at-Tirmizi, juz 3, bab Ma Ja-a La Tuharrimu al-Massatu wa al-Massataan (hlm. 229).
3. Tamam al-Minnah Fi Fiqh al-Kitab wa Sohih as-Sunnah, 3/82.
4. Bidayatul-Mujtahid, 2/43-44.
- USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
-blog Bujang Susah
No comments:
Post a Comment