17 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Akhi Salman
MUQADDIMAH
Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia, apabila kita menjumpai barang yang bukan kepunyaan kita, kita akan mengambil tindakan seperti:
1. Mengambilnya untuk kegunaan kita sendiri dengan alasan tiada yang menuntutnya.
2. Memberi atau meletakkan barang tersebut di surau/masjid.
3. Menjadikan barang tersebut sebagai satu sedekah pada orang miskin.
4. Membiarkan barang tersebut tanpa sebarang tindakan dengan alasan bahawa ada orang lain yang akan mnguruskannya.
Mengambil barang yang bukan hak milik kita atau mensedekahkannya kepada satu pihak yang tertentu walaupun dengan niat yang baik, adalah satu perbuatan yang salah dari segi syariat, kecuali setelah mengambil langkah-langkah yang telah digariskan oleh syariat.
DEFINISI LUQATAH
Harta ataupun barang yang dihormati yang dijumpai di tempat yang bukan milik individu dan ianya tidak ada tanda-tanda di bawah jagaan sesiapa dan tidak diketahui siapakah yang berhak untuk barang tersebut.
PENSYARIATAN MENGAMBIL BARANG YANG TECICIR
Nabi S.A.W. bersabda apabila ditanya tentang barang yang tercicir:
اعرف وكاءها وعفاصها ثم عرفها سنة فإن لم تعرف فاستنفقها ولتكن وديعة عندك فإن جاء طالبها يوما من الدهر فأدها إليه
“Hendaklah kamu mengenal pasti pengikat bungkusan barang tersebut dan bekas barang tersebut, kemudian hendaklah kamu wawarkan selama setahun. Sekiranya kamu tidak menjumpai tuan barang tersebut, dan hendaklah kamu simpan dan pelihara dalam jagaan kamu, dan apabila datang pemilik barang tersebut, pada bila-bila masa, hendaklah kamu menyerahkan barang itu kepadanya.”
Hadis riwayat bukhari (2295) dan Muslim (1722)
HUKUM MENGAMBIL BARANG YANG TERCICIR
Ia mempunyai 5 hukum:
1. SUNAT:
Bagi orang yang mempunyai sifat amanah dan ditakuti ianya hilang jika dia tidak mengambilnya.
2. HARUS:
Sekiranya tidak ditakuti ianya hilang jika tidak mengambilnya.
3. WAJIB:
Sekiranya dia yakin, jika dibiarkan, barang itu pasti akan hilang.
LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIBUAT APABILA MENJUMPAI BARANG YANG HILANG
1. Sekiranya barang tersebut adalah barang yang remeh-temeh, iaitu yang mana manusia tidak kisah kehilangan barang tersebut, maka orang yang menjumpai boleh mengambilnya tanpa perlu mewarwarkannya atau mencari tuannya.
2. Sekiranya ia adalah barang yang bernilai, iaitu yang mana tuannya akan mencari barang tersebut, maka wajib orang yang menjumpai mewarwarkannya.
3. Maka, orang yang menjumpai barang itu tadi, hendaklah dia mengenal pasti sifat-sifat barang tersebut.
4. Orang yang menjumpai barang itu tadi hendaklah bertanya akan sifat-sifat barang itu kepada sesiapa yang mengaku sebagai tuan sebenar kepada barang tersebut.
5. Kalau si pendakwa itu menjawab dengan tepat, dan diyakini oleh orang yang menjumpainya bahawa dialah pemiliknya, maka serahkan kepadanya.
6. Sekiranya masih lagi berterusan, tidak ada yang mengaku, atau tidak diyakini pendakwa itu sebagai tuan yang sebenar, maka hendaklah orang yang menjumpainya mencari tuannya selama setahun. Tempoh masa setahun ini adalah bagi barang-barang yang sangat bernilai. Sekiranya barang itu tidak sangat bernilai, maka tempohnya tidak sampai setahun dan ianya mengikut nilai barang tersebut.
7. Tempat yang diwawarkan adalah tempat yang umum, tempat yang dihadiri oleh orang yang ramai (pasar, sekolah, perhentian-perhentian dan lain-lain).
8. Jikalau telah tamat tempoh pencarian tuan tersebut, maka dia boleh simpan sebagai harta amanah dan mengembalikan kepada tuannya sekiranya tuannya datang menuntut. Ataupun pilihan yang kedua, dia boleh memiliki barang tersebut dan membayar mengikut nilai barang tersebut sekiranya tuannya datang menuntut.
INI ADALAH PENJELASAN RINGKAS TENTANG TAJUK BARANG TERCICIR DALAM FEKAH MUAMALAT MAZHAB SYAFIE. IA PERLUKAN KEPADA PEMERINCIAN DAN PENERANGAN.
No comments:
Post a Comment